Jalinan Ukhuwah Aidilfitri eratkan silaturahim tenaga pembimbing, Muslimah



​​

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad






TUTONG, Isnin, 6 April. - Bagi mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan tenaga pembimbing dan Muslimah masjid lebih-lebih lagi dalam suasana meraikan keberkatan dan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong menganjurkan program keugamaan, iaitu Jalinan Ukhuwah Aidilfitri bagi para tenaga pembimbing dan Muslimah Daerah Tutong.


Penganjurannya adalah bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan diadakan di masjid berkenaan.


Hadir sama pada acara berkenaan, isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi.


Di samping beramah-mesra dan menikmati jamuan, majlis berkenaan turut diserikan dengan pelbagai persembahan antaranya Selawat Sholatun Minallah, Syair Aidilfitri, nyanyian lagu-lagu Hari Raya, berbalas pantun serta persembahan kemahiran membuat pulut panggang.


Selain untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penyampaian lagu-lagu dakwah dan puisi Islam, program berkenaan turut membuka peluang kepada para tenaga pembimbing dan Muslimah untuk menyertai dalam program keugamaan.


Di samping itu, ia juga dihasrat untuk menyemai rasa kasih sayang dan kemesraan dalam kalangan tenaga pembimbing dan Muslimah serta para jemputan.

Close